7:33 AM

Perutusan Penasihat….


Segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam selawat dan salam ke atas pemimpin orang terdahulu dan terkemudian Muhammad s.a.w penutup segala nabi serta ke atas ahli keluarga dan para sahabatnya sekelian.

Firman Allah Taala Surah Al-Araf 178 bermaksud,
“Sesiapa yang diberi hidayah oleh Allah dengan sebab persediaannya untuk menerima petunjuk Allah maka dialah yang beroleh hidayah dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan sebab keingkarannya) maka merekalah orang-orang yang rugi.”

Alhamdulillah blog muslimah Bukit Istana merupakan salah satu usaha daripada AJK Muslimat Bukit Istana yang diberi hidayah oleh Allah untuk mengambil Islam sebagai deenul hayah sekali gus menjadi medium dakwah dikalangan penghuni Bukit Istana khususnya muslimat dan muslimin amnya.

Lahirnya blog ini bersempena dengan bulan kelahiran junjungan besar Nabi kita Muhammad s.a.w, memberikan kita suntikan roh dan semangat perjuangan Rasullah s.a.w. dalam menyebarkan dakwah Islam. Mudah-mudahan kita sentiasa istiqamah untuk melaksanakan sunnah dalam kehidupan kita. Insya Allah kita boleh bermula dengan amalan yang mudah seperti doa dan selawat kerana sabda baginda s.a.w. bermaksud,
“ Sesungguhnya manusia yang paling utama di sisi ku pada hari kiamat ialah mereka yang paling banyak berselawat kepada ku” ( Hadis riwayat An-Nasa’i dan Ibnu Hibban dari Ibnu Masuud r.a.)

Mudah-mudahan usaha yang dilakukan ini sama-sama mendapat sokongan daripada warga Bukit Istana kerana tidak ada lain matlamatnya melainkan untuk menjadikan kita muslimat yang bijak mengatur urusan rumah tangga dan keluarga dan dalam masa yang sama taat dan patuh kepada setiap perintah Allah Pencipta kita, yang mengurniakan kesenangan dan kemewahan hidup seperti yang kita kecapi selama ini.

Semoga kita mendapat menafaat bersama dan redha Allah yang amat kita harapkan.

Wassalam
Ustazah Anita binti Elias

0 comments: